Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
YBrs. Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan,
Dimaklumkan bahawa seluruh kawasan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) merupakan kawasan larangan merokok selaras dengan Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024 [P.U.(A) 257]. Larangan ini meliputi kawasan di dalam bangunan hospital serta kawasan sekitarnya yang berada dalam sempadan pagar atau tanah lot premis hospital.
Untuk makluman, perbuatan merokok di kawasan larangan merokok merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 16(2), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.00 apabila disabitkan bersalah. Selain itu, tindakan tatatertib juga boleh dipertimbangkan terhadap pegawai atau kakitangan HoSZA yang didapati melakukan kesalahan tersebut, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, semua warga HoSZA dan pengunjung adalah dimohon untuk mematuhi larangan ini serta bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan persekitaran hospital sentiasa bebas daripada asap rokok.
Bersama-sama hebahan ini disertakan poster infografik saluran aduan aktiviti merokok di HoSZA untuk rujukan dan tindakan pihak YBrs. Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan sekiranya terdapat aktiviti merokok yang melanggar peraturan di kawasan hospital.
Kerjasama semua pihak amatlah dihargai dalam usaha melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga HoSZA serta para pengunjung.
Sekian, terima kasih.
Unit Kesihatan Persekitaran,
Jabatan Perubatan Masyarakat
Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)